thePencil.org Ar RaiYan: October 2009

Thursday, October 29, 2009

Kesedaran

Kita perlu ada kesedaran dalam hal-hal dan sikap seperti ini. Apatah lagi sebagai seorang Muslim. Rasanya tahap kesedaran rakyat Malaysia masih lagi berada di tahap yang tidak membanggakan berbanding di negara maju lain

Lokasi: Pasaraya Hafifah (dalam tu ada kedai saya Iqra' Books)
Sikap: bila beli barang, tak simpan balik troli, biarkan saja di tempat parking kereta sehingga orang lain nak parking, kena turun kereta, ubah troli dulu, pastu baru boleh parking.

Dah tu pula. sampah dalam keretanya dibuang pula ke dalam troli tersebut. aiyaarkk...
saya pernah tengok Dr Wahab, yang sudah lama menetap di luar negara, seorang pemilik bakery kat bawah kedai saya menolak troli2 pelanggan untuk disimpan di tempat troli sambil menyatakan, "this is Malaysian!"

Sangka baik saya:
1. mungkin orang tu sakit perut kot, sehingga tak sempat nak pergi simpan troli kat tempat troli.
2. mungkin mata orang tu nampak troli tu sebagai tong sampah, atau tertera "sila buang sampah disini", dia sorang je nampak, orang lain tak nampak pun ianya sebagai tong sampah. terer..

Lokasi: Giant Alor Setar
Sikap: tengok la parking cemana, 2 petak sekali dia sapu. Sampai orang lain takleh nak parking. Dah la masatu parking penuh.
Sangka baik saya:
1. Dia ni baru belajar parking kot... baru lulus lesen agaknya.
2.Kereta dia besar sangat kot, takut orang lain parking kat sebelah dia, nanti tercalar kereta dia. Bagus, sayang kereta.

Tuesday, October 27, 2009

Belajar Buat Coklat

Semalam (ahad) Saif ada program di UIA. Saya teringin sekali nak ikut (baca: saja menyusahkan diri). Jadinya saya join kursus coklat di Bangi sementara menanti cik abang berprogram di UIA. Saya join kelas coklat tu bersama Huda. Sebahagian gambar-gambar pun ada kat blog Huda.
Thanks to our teacher Pn Rahimah dan adiknya Jamaliah yang sangat baik. Puas hati belajar. Bawak balik Perlis 50 biji coklat. Ha... amek kau! Makan puas-puas..
Dapat info macam-macam, baru tau jenis2 coklat, cara tampering mudah jika dirumah. Resepi pun sedap. hmm... lepasni boleh la buat sendiri

Mak buyung sedang mengetuk mould...
Huda mengisi filling, strawberry ganache...
yummy....
waffle
Ini perisa peanut butter...
Ni untuk kakak Ibah, choc with peanut butter + almond

Sementara menunggu Saif habis kursus, kami jalan-jalan ke Midvalley, call faizah and buat gathering bertiga. Asalnya Asma ikut skali, tapi dia ada program ngan student. huhu. tak dapat nak jumpa Asma. Lama betul kami tak jumpa. Teringat zaman kecik-kecik berhingus dulu (berhingus ke? taklah). Kalo semua ada ni, mesti riuh punya. Takpe, tahun depan kita buat proper gathering batch kita ek!
Huda, architect...
Candid with D90, bestnyer camera Huda, sharp!
Faizah.. PA YB Rodziah, sibuk memanjang...
makan lagi...


Jam 7.30 mlm Huda hantar kat KL Sentral, menunggu Saif tiba dari UIA, malam tu jugak bertolak balik dengan trans. Rindu dengan Kak Ibah n Tasneem, seharian tinggal budak-budak tu.

Friday, October 23, 2009

Guru Qur'an


Masa umur 7 tahun, mak saya bawa saya ke rumah Tok Su Pishah (sekarang dah meninggal, arwah). Guru quran yang paling garang kat kampung tu saya rasa. Masa mak bawak saya tu, dia juga bawakan gulai ayam dan pulut kuning untuk disedekahkan pada Tok Su sebagai tanda saya sebagai murid baru. Umah Tok Su sebelah aje dengan rumah Tok Mak (tok saya).

Maka bermulalah episod saya belajar muqaddam. Mula-mula Tok Su ok la. Tapi cam serius aje ngajar muqaddam sambil pegang rotan . Lepas tu Tok Su makin garang. Eei... takut saya. Sehinggakan belajar muqaddam setiap hari jam 3 petang merupakan suatu mimpi ngeri buat saya. Bila jam 3 petang aje, saya mulalah buat-buat tido, atau pening kepala. hehe. Malasnya nakpi ngaji tuhan saja yang tahu.

Saya selalu balik mengadu pada mak yang Tok Su tu selalu marah-marah saya. Dia cakap macam-macam, saya suka baca main-main, saya ni lambat nak ubah mukasurat dan suka menangis. hiks. Tapi satu je, saya tak nak bagitau ayah sebab nanti ayah akan puji Tok Su tu lebih-lebih. Tok Su semuanya betul. Saya semuanya salah. Jadi malas saya nak dengar. Mak saya ok je, dia diam je dan suruh saya bersabar. Ada ketikanya mak saya sokong saya. Tak macam ayah asyik salahkan saya aje. Mak selalu kata, "isk...ada ke Tok Su tu kata anak mama lambat boleh? anak mama budak pandai apa!". Haa... tu ayat yang saya suka dengar tu. Padahal mak saya cuma nak bodek saya je tu. hihi

Saya sempat belajar dengan Tok Su selama setahun lebih aje, lepastu saya bertukar sekolah ke Al Islah, Tikam Batu. Masa tu saya rasa seronok sebab tak perlu lagi mengadap Tok Su yang garang itu. Saya tak suka Tok Su. Betul- betul tak suka.

Tapi harini, kerana Tok Su yang garang tu la saya boleh membaca al Qur'an dengan lancar dan khatam al Quran masa masuk darjah 3. Tok Su yang mencelikkan saya ke arah bahasa syurga. Betapa berjasanya Tok Su pada saya. Alfaatihah saya sedekahkan pada arwah Tok Su, seorang guru insan yang telah berjasa dalam hidup saya. Moga Allah tempatkan beliau di kalangan para solehin. Amin...

Tapi sekarangni, manada guru quran pukul anak murid dengan rotan, silap-silap mak pak yang datang saman or pukul cikgu tu balik, dan kalo garang sangat, takde sape yang nak hadiri kelas quran tu kan! hmmm... rugi Nusaibah tak merasa kena rotan macam saya waktu kecik-kecik dulu!

Sekarang saya jual Qur'an, boleh singgah ke http://www.quranonline2u.com

Wednesday, October 21, 2009

Basuh Tandas


Saya bersekolah SMI Hira, Klang. Ada satu peraturan wajib pelajar asrama, iaitu perlu membasuh tandas sekolah setiap hari mengikut jadual diberi. Jika ada sesiapa yang melanggar peraturan, denda basuh tandas sekolah juga diberi. Buat bising waktu prep pun denda kena basuh tandas juga. Tak pergi prep pun kena denda basuh tandas juga. Pendek kata, apa saja peraturan kecil dilanggar, dendanya ialah basuh tandas sekolah. Banyak tau tandas sekolah. Masa tu ada tandas sekolah rendah lagi, tandas sekolah menengah lagi. Berpeluh juga. Itu peraturan SMI Hira'. Saya tak pasti samada peraturan ini masih lagi berkuatkuasa atau tidak pada masa sekarang.

Oleh kerana saya salah seorang pelajar asrama ketika itu, saya pun turut tidak terkecuali membasuh tandas. Kau tahu sajalah tandas sekolah. Kalo cantek macam gambar kat atas tu, takpe juga. Basuh lama-lama pun best. hehe

Saya pernah tanya sendiri pada mudir (pengetua sekolah) tentang peraturan ini. Kenapa asyik basuh tandas aje kalo kena denda? Pastu kami pelajar asrama, jadi kemestian pulak kena basuh tiap- tiap petang. Sekolah tak payah ambil cleaner untuk basuhkan tandas. menjimatkan.hehe.
Kata mudir, satunya adalah aspek kebersihan. Sekolah akan nampak hebat jika tandasnya bersih. Dan paling penting, ia adalah salah satu tarbiyyah untuk kamu bahawa basuh tandas ini melatih disiplin diri dan mengikis sifat besar diri serta melahirkan sifat tawadhu' dalam diri.

Tapi betul ... zaman kami bersekolah dulu, tiada kes-kes disiplin yang berat berlaku....
Terima kasih mudir Khairul..walaupun hal ini kecil, tapi ia significant! (amek ayat prof Kamil)

p/s: nanti boleh denda Kak Ibah basuh tandas, muahahaha. Tapi dia suka pulak basuh tandas sebab boleh main air. Siap bawak masuk pistol air. aiiyaarkk.Maklumla tandas rumah, mana kotor sangat pun!

Monday, October 19, 2009

Chopper


Masa saya berumur 5 tahun, saya ada chopper. Basikal pertama saya. Berwarna merah. Tapi takla secantik gambar kat atas tu. Masa tu kawan-kawan semua ada basikal bmx, saya pun minta kat ayah nak basikal juga. Nanti nak naik basikal dengan kawan-kawan. Masatu kami tinggal kat umah tok mak. Mak kepada ayah saya. Saya anak tunggal. Saya tiada adik hinggalah darjah 1 baru dapat adik. Jadi saya kesunyian dan teringin nak berkawan. Kata kawan-kawan, 'kalo hang takda basikal, hang takleh main ngan kami' (ada juga kawan cenggitu ek, hehe). Saya balik beritahu ayah, menangis nakkan basikal.

3 hari lepastu, ayah belikan basikal. Tapi pelik rupanya. Tayar depan kecil dari tayar belakang. Tak macam kawan-kawan yang lain. Mereka ada bmx. Saya sangat gembira, petang tu juga saya bawak basikal ke tempat bermain kawan-kawan.

Masa saya sampai di situ, mereka ketawakan basikal saya. Basikal saya pelik lah. Takda orang ada basikal macam saya. 'basikal hang jenis lain, takleh nak geng ngan kami'. Basikal hang macam orang cacat. Saya sedih sangat. Masa tu saya rasa marah sangat kat ayah, Kenapala ayah beli basikal pelik, sebab tu kawan-kawan tanak main dengan saya. Sudahnya saya tiada kawan. Saya lari balik rumah. Sandar basikal peliktu kat bawah rumah. Saya benci tengok basikal pelik tu. Lantas saya marah pada ayah kerana basikal tu. Ayah cuma senyum aje. Mungkin dia tahu saya ni tak mengerti apa-apa. Ayah kata dia hanya beli yang terbaik untuk saya. Saya memang tak faham apa-apa waktu tu. Saya tinggal aje basikal tu di bawah rumah. Ayah simpankan di bawah tangga supaya tidak hilang. Saya tak pedulikan basikal pelik tu lagi...

Bila saya besar... baru saya faham... rupa-rupanya hanya saya seorang aje kat kampung tu pakai basikal tu. Mahal pulak tu. haha..

ayah... oh ayah... saya rindukan arwah ayah!

Harini, Kakak Ibah pula mahukan basikal sebagai hadiah harijadinya seperti mana saya mahukannya suatu ketika dulu :)

Monday, October 05, 2009

Hal Ehwal Raya

Dah menulis, tapi lupa nak publish...

Raya tahun ni beraya di Teganu kiter. Kampung mertua (ummi n ayah mertua saya orang Teganu) jadi satu Teganu tu sedara mara depa. Memang kalo balik Teganu, perut sentiasa kenyang. Mata sentiasa mengantuk (sebab kenyang). Bersusun umah kena pergi beraya. Ada satu kampung tu, Bukit Bayas (org Teganu sebut: Bukit Bayah). Satu kampung tu sedara ummi n ayah. So park kereta, then berjalan aje sepanjang kampung melawat umah-umah sedara mara. Rumah mak-mak sedara kat Teganu ni cantik belaka. Aiyaark.. beraya sampai terlupa nak snap gambar-gambar umah yang lawa-lawa ini. Tahun depan kena amek lah buat koleksi.

Bertolak sehari sebelum raya, dijangka sampai Teganu petang raya konvoi 2 buah kereta. Kereta kami dan kereta ayah. Tiba di Teganu agak lewat jam 10 malam sebab kami accident di Jeli. Kereta tiba dari arah bertentangan tetiba terbabas masuk ke lane kami, menyirap darah, anak-anak n maid ada kat belakang. Saya n Saif menjerit dan mengucap banyak-banyak. Saif brek untuk mengelak. Tiba-tiba datang kancil menghentam kereta kami dari belakang. Alhamdulillah kami tak apa-apa. Syukur. Kancil belakang kami teruk juga, remuk bahagian depan, kena 'on tow'. Kereta kami, patah bahagian pemegang ekzos (tatau org panggil ape part tu ek?). Absorber/bumper ada kemik sket. Baru sedar, bila lihat kereta kancil yang langgar kami dan dibandingkan dengan kereta kami, kereta kami macam takde accident pula. Syukur body agak keras. Kredit to Honda. Gegaran minima, kami dalam kereta tak terasa sangat hentakan kuat dari belakangtu.
Baru accident, alhamdulillah takde pape. Tapi bahagian kanan belakang berhampiran ekzos ada kemik sket, kena tukar absorber/bumper baru dan sarung tayar ada patah sket di bahagian bawahnya.
Mujur dapat meneruskan perjalanan, kebetulan dalam kereta ada disimpan tali. Jadi ikat tali pada ekzos dan terus ke Balai Polis Jeli, tunggu kereta ayah tiba kemudian sama-sama teruskan perjalanan ke Teganu. Nak repair? mana le kedai buka malam-malam raya ni. Raya ketiga baru pi repair. Kelakar juga, berjalan merata ke rumah orang beraya dengan ekzos terikat tali macam tu. Menakutkan juga.Takde sape pun sedar. hehe. tali nun jauh bahagian bawah kat tengah.

Tapi kejadian ini mengingatkan kembali kenangan kami sekeluarga accident pada April 2006 lepas dimana saya kehilangan anak kedua (4 month pregnancy) dan tangan patah riuk. Sangat trauma.

Alhamdulillah... kalini kami semua selamat. Allah melindungi perjalanan kami. Syukur...

Rayuan Batal Sebat Persenda Hukum Syariah

Moga ramai lagi pengamal undang-undang di dalam JIM untuk memberikan pandangan, ilmu serta pengalaman mereka.

-----------------------------------------------------------------

Oleh Hasliza Hassan
haliza@bharian.com.my

Semua pihak perlu akur keinsafan Kartika sebagai Muslim untuk jalani tindakan syarie

KETIKA heboh isu sebat, Kartika Sari Dewi Shukarno sendiri sama sekali tidak mempertikaikan hukuman yang diputuskan mahkamah tetapi orang lain pula beriya-iya meminta pelbagai pihak termasuk kerajaan untuk mengkaji semula hukuman yang sudah termaktub dalam undang-undang syariah.

Malah, pengalaman dilalui model sambilan itu yang reda dengan hukuman sebat dijatuhkan atas kesalahan meminum arak, kini membuka lembaran baru dengan penampilan lebih positif.

Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Pelaksanaan Syariah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr Zulfakar Ramlee, berkata perubahan itu sepatutnya menjadi tamparan hebat kepada mereka yang memperjuangkan supaya hukuman ditangguhkan dan disemak.

"Itu satu tamparan kepada orang yang memperjuangkan supaya hukuman ditangguhkan sebab orang yang nak disebat sudah nampak perubahan dari segi penampilan tetapi orang yang kononnya nak membela, tidak ada perubahan. Pada saya itu satu tamparan untuk mereka," katanya.

Beliau berkata, tindakan pihak yang mempertikai pelaksanaan undang-undang syariah termasuk hukuman sebat terhadap jenayah syariah boleh menimbulkan tanda tanya serta sangkaan wujudnya motif tidak baik terhadap Islam.

Zulfakar yang ditemui selepas sidang media pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membantah tuntutan menghapuskan undang-undang jenayah syariah, berkata suara kumpulan minoriti itu tidak seharusnya diberi perhatian.

Katanya, suara sakti majoriti masyarakat Islam yang mendukung kedaulatan undang-undang Islam sepatutnya diambil kira bagi mempercepatkan usaha ke arah meningkatkan martabat serta memperkasakan undang-undang syariah.

"Menjadi harapan NGO Islam supaya suara memperlekeh undang-undang serta mahkamah syariah tidak diberi ruang. Saya tidak fikir kerajaan atau pihak berkaitan ingin menunggu umat Islam menghukum baru hendak mengambil tindakan.

"Inilah masanya kerajaan melakukan sesuatu bagi memastikan kedaulatan undang-undang syariah dipelihara dan dipertahankan. Saya bersetuju keputusan Panel Rayuan Kehakiman Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan memutuskan hukuman enam sebatan terhadap Kartika kekal dan akan tetap dilaksanakan," katanya.

Katanya, Kartika juga bukan orang yang pertama menerima hukuman sebat atas kesalahan minum arak kerana Kelantan sudah melaksanakan 13 hukuman rotan terhadap pesalah jenayah syariah tetapi isu itu tidak diperbesarkan.

Mengenai kewajaran hukuman sebat itu dilaksanakan di khalayak umum, Zulfakar berkata, ramai tidak faham falsafah hukum Islam iaitu untuk mendidik orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Beliau berkata, hukuman sebat mengikut undang-undang syariah boleh diibaratkan seperti hukuman rotan di khalayak ramai di sekolah yang tujuannya memberi pengajaran kepada pelajar lain tidak mengulangi perbuatan dilakukan rakan mereka.

"Apabila orang lain lihat, akan timbul rasa malu jika dirotan. Jika buat di tempat tertutup, tiada siapa pun akan tahu dan mendapat pengajaran. Ini simboliknya dan inilah falsafah Islam tetapi orang tidak faham," katanya.

Kisah Kartika mendapat tumpuan pelbagai pihak termasuk media asing apabila dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu selepas mengaku salah minum arak di pusat hiburan di Cherating, dua tahun lalu.

Isu itu kemudian menjadi perbahasan kumpulan yang membuat permintaan supaya hukuman sebat diketepikan dan dibalas pula pelbagai pihak yang melihat kepentingan memastikan hukum syarak dilaksanakan.

Berita Harian turut menyiarkan dua siri rencana mengenai pelaksanaan hukuman sebat mengikut hukum syarak yang merangkumi prosedur hukuman sebat terhadap pesalah wanita serta rotan yang boleh digunakan.

Bagaimanapun, masih ada kenyataan dibuat sehingga kini mengenai hukuman sebat terhadap Kartika Sari yang ditangguhkan pada Ramadan lalu kerana menghormati bulan puasa.

Disebabkan kenyataan demi kenyataan yang dibuat itu, NGO Islam bertindak membuat bantahan terhadap tuntutan Sisters in Islam (SIS), Pertubuhan Pertolongan Wanita dan Kumpulan Bertindak Menentang Keganasan Terhadap Wanita (JAG).

Berikutan itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Persatuan Alumni Kolej Islam (Alkis), Jamaah Islam Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak kerajaan mendakwa semua pihak yang membuat tuntutan bersifat menghasut serta menghina ajaran Islam.

NGO berkenaan juga meminta supaya dana diterima pihak berkenaan disiasat, membatalkan permit akhbar dan media menyiarkan pandangan bersifat menghasut untuk menghapuskan undang-undang jenayah Islam.

Mereka juga mahu ajaran Islam dipelihara selaras kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan serta meminta pihak yang tidak berkenaan usah mencampuri urusan di mahkamah syariah.

Jabatan Undang-Undang Islam, Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam kenyataannya berkata, pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah syariah tidak bertentangan undang-undang antarabangsa.

Pelaksanaan hukuman terpakai tanpa mengira jantina walaupun ada perkara perlu diambil kira sebelum hukuman dilaksanakan khususnya jika membabitkan pesalah wanita.

Hukuman itu juga bukan satu diskriminasi terhadap wanita dan oleh demikian tidak bertentangan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang turut dianggotai Malaysia.

"Hukuman sebat mengikut undang-undang Islam bersifat kemanusiaan kerana perlu ambil kira faktor yang boleh memberi mudarat kepada pesalah termasuk tidak melukakan kulit pesalah. Ia juga bukan satu bentuk penderaan, hukuman kejam atau menghina," katanya.

Katanya, menurut Islam hak asasi manusia hendaklah ditafsirkan mengikut kehendak Islam yang mana hak seseorang individu diimbangkan dengan hak masyarakat yang inginkan keselamatan dan kesejahteraan.

Pendirian Kartika untuk mengaku bersalah dan bersedia dihukum harus dilihat sebagai kerelaan bagi mematuhi perintah Allah dalam menegakkan keadilan walau terhadap diri sendiri.

 
blog template by suckmylolly.com