thePencil.org Ar RaiYan: Ubah Mentaliti Graduan Menganggur

Saturday, December 30, 2006

Ubah Mentaliti Graduan Menganggur

Bos saya interview seorang graduan KUIM semalam, dia call kami dan mintak nak kerja sebagai guru tadika dan pengurus tadika bagi menggantikan saya. Apabila dia balik dari interview, dia beritahu mak mertuanya yang dia taknak la keje tadika ni. Tak padan dengan degree yang dia ada.
hehe... padahal kami pun memang decide taknak terima sebab memang rasa dia tak sesuai dengan jawatan yang bakal kami beri. Kerja pengurus bukan suatu kerja yang mudah. :)

Saya hairan, mengapa graduan sanggup menganggur kerana dengan sikap atau masih ada lagi mentaliti taknak kerja jika tidak setaraf dengan kelayakan mereka. Nak suruh meniaga pun malu.Takkan nak harap kerajaan bagi kerja kat korang. Sampai bila nak maju.hehe
___________________________________________________________________________________

Oleh SHAIFUL BAHRI SAIDIN

TIADA satu pun negara di dunia termasuk negara maju boleh menjanjikan 100 peratus peluang pekerjaan kepada graduan lepasan institut pengajian tinggi (IPT). Malah di negara jiran yang paling hampir, Indonesia, kerajaannya lebih menggalakkan graduan lepasan beratus universitinya mencari pekerjaan sendiri atau menceburi bidang perniagaan. Sehinggakan dana khas perniagaan untuk graduan yang disalurkan kepada bank-bank tempatan mereka habis peruntukannya dalam sekelip mata sahaja.
Di negara kita graduan masih berharapkan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Puncanya kerana graduan IPT kita terlalu dimanjakan dan kebanyakannya telah dirasuk faktor kebendaan seawal usia semasa dalam pengajian lagi.
Sudahlah pengajian mereka sentiasa dititikberatkan oleh kerajaan dengan lambakan kemudahan, bantuan dan sokongan. Inikan pula selepas tamat pengajian, pun masih berharap kerajaan membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan.
Malah ada golongan yang dengan sewenang-wenangnya menyalahkan kerajaan apabila berlaku lambakan graduan menganggur di pasaran. Apakah kita hidup di Malaysia ini asyik hendak berharapkan kepada kerajaan dalam segala segi?
Akibat terlalu ditatang bagai minyak yang penuh, graduan masa kini tidak mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi. Semangat juang untuk hidup bergelar graduan dianggap terlalu tinggi dan eksklusif. Mentaliti sakit sebeginilah yang telah merosakkan nilai graduan IPT di pasaran kerja tempatan.
Apakah tujuan sebenar mereka melanjutkan pelajaran ke menara gading? Apakah mereka sudah mengabaikan tuntutan menuntut ilmu untuk menjadi insan yang berguna dan berfikiran terpelajar mesti berakhir dengan bekerja dengan bergaji besar? Apakah dengan segulung diploma dan ijazah itu bermakna mereka secara automatiknya menjadi warga “permata” kepada negara?
Saya yakin ramai graduan IPT tahun 1970-an dan 80-an bersetuju dengan pendapat saya bahawa kita dahulu lebih terbuka dengan sikap boleh berdikari dan tidak terlalu memilih kerja dan gaji yang ditawarkan. Malah semasa kegawatan ekonomi pada pertengahan tahun 1980-an, saya sendiri dan rakan-rakan yang lain tidak mengeluh kerana bekerja di bidang yang berlainan dengan apa yang diperoleh dan tidak merungut apabila dibayar dengan gaji yang kecil.
Ketika itu Skim Khas Siswazah (SKS) diperkenalkan oleh beberapa agensi kerajaan dan pihak swasta. Saya sendiri ditawarkan jawatan pegawai SKS tetapi bertangga gaji kerani. Ada rakan saya berkelulusan jurutera elektrik ditawarkan sebagai eksekutif di kilang syarikat milik kerajaan (GLC) tetapi tugasnya ialah sebagai line leader.
Malah ramai rakan-rakan saya berniaga kecil-kecilan seperti membuka warung burger dan menjual baju terpakai bundle di kampung masing-masing. Malah pengilang dan pengeluar burger terkenal di negara masa kini berjaya dalam perniagaannya hasil menjual burger selepas tamat pengajian walaupun mempunyai ijazah farmasi.
Ketika itu berlaku kegawatan ekonomi di seluruh dunia. Dengan ketahanan diri dan boleh berdikari di samping telah merasa susah senang untuk hidup semasa di IPT, kami boleh menghabiskan pengajian tepat pada waktunya tanpa extend semester. Tanpa biasiswa dan pinjaman pelajaran, kami masih boleh belajar bersungguh-sungguh dengan persekitaran dan peralatan yang serba kekurangan.
Apakah graduan sekarang sanggup menempuh gelodak kerjaya sebegini dengan dibayar upah rendah berbanding dengan kelulusan yang diperoleh?
Sanggupkah mereka menerima kenyataan realiti kehidupan bahawa setinggi mana pun kelulusan belum tentu menjamin pendapatan yang setimpal?
Kebanyakan graduan lepasan IPT sekarang hanya boleh berbangga dengan sekeping diploma atau ijazah, tetapi masih mundur ilmu. Pengajian yang mereka peroleh dari IPT seolah-olah tidak berguna langsung. Mentaliti mereka ialah apabila tamat sahaja pengajian, mereka bermimpikan gaji yang lumayan dan kesenangan dan kemewahan yang bakal mereka kecapi.
Ini semuanya berpunca daripada sikap boros dan mementingkan kebendaan semasa masih bergelar siswazah lagi. “Kemewahan” semasa di IPT sebenarnya telah “membunuh” diri mereka sendiri. Dengan biasiswa dan pinjaman pelajaran yang kebanyakannya telah disalahgunakan, menyebabkan mereka apabila keluar dari IPT menjangkakan hidup bermewah semasa belajar dapat diteruskan semasa di alam pekerjaan.
Oleh itu mereka masih bergantung harap kepada kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Ini kerana mereka sudah ‘banyak lemak’ semasa masih bergelar mahasiswa lagi.
Ramai graduan menganggur takut untuk memasuki pasaran kerja swasta kerana mereka tahu kelemahan diri mereka sendiri. Kelemahan utama ialah sangat lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris. Sudah terlambat sebenarnya untuk memperbaiki diri kerana peluang yang ada untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di IPT tidak dimanfaat sepenuhnya.
Malah ada mahasiswa yang menyindir rakan-rakan yang berbahasa Inggeris dan menjawab soalan peperiksaan dalam bahasa Inggeris kerana kononnya tidak patriotik. Sekarang ini mereka perlu menjawab kepada diri sendiri yang masih tidak ‘berkelayakan’ untuk bekerja setaraf dengan kelulusan mereka.
Graduan sekarang juga takut untuk berniaga sendiri kerana malu dan segan. Malah ada yang beranggapan bukan taraf mereka untuk berniaga. Ada siswazah lulusan pertanian masih berharap untuk makan gaji sedangkan keupayaan dan kapasiti mereka sudah cukup untuk menjadi petani moden dengan pinjaman bank yang tersedia untuk dipohon.
Inilah sikap bodoh sombong graduan sekarang. Mereka masih tidak mahu mengakui hakikat bahawa mereka bukannya hebat sangat dengan segulung diploma dan ijazah. Tanpa pengalaman bekerja janganlah bermimpi yang indah untuk mendapatkan ganjaran gaji yang lumayan.
Graduan perlulah mengukur baju di badan sendiri dan mengakui hakikat setakat mana sebenarnya kebolehan mereka. Tanpa kemahiran dan pengetahuan selain dari apa yang dipelajari, jangan harap mereka dengan mudah boleh diterima bekerja sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta.
Saingan hebat masa kini di pasaran buruh sudah tentunya mendatangkan masalah besar kepada graduan menganggur terutamanya graduan Melayu. Mereka tidak serius dalam menyediakan diri mereka memasuki alam pekerjaan. Malah sikap malas untuk menilai diri sendiri dan menambah baik prestasi diri mengakibatkan mereka menemui kegagalan setiap kali temu duga.
Zaman penuh pancaroba dan perlumbaan untuk berjaya dalam hidup sebenarnya tiada tempat untuk graduan yang malas. Sepatutnya semasa ada masa terluang sementara mendapat pekerjaan, mereka harus melengkapkan ‘resume’ mereka dengan selengkap yang mungkin, banyakkan membaca untuk menambah ilmu pengetahuan dan cuba berinteraksi dengan sesiapa sahaja. Tujuannya untuk mendapatkan keyakinan diri dan tidak takut untuk menghadapi temu duga.
Sikap primitif dan lapuk bahawa selepas sahaja tamat pengajian IPT, graduan akan bekerja dengan gaji empat angka, sepatutnya sudah lama dihakiskan dalam pemikiran masyarakat kita. Juga sesiapa yang bergelar graduan akan cerah masa depannya, perlu ditepis sama sekali.
Mungkin telah tiba masanya graduan menganggur di negara kita bekerja dengan jawatan yang rendah dan gaji yang kecil dahulu dengan tujuan untuk menimba pengalaman. Tidak ada salah dan dosanya jika graduan pemasaran bekerja sebagai jurujual, graduan kejuruteraan awam bekerja sebagai penyelia tapak, graduan perubatan bekerja sebagai pembantu klinik dan graduan akauntan bekerja sebagai kerani akaun.
Paling elok graduan menganggur berpadu tenaga bersama-sama rakan satu pengajian mereka untuk menubuhkan syarikat dan menjalankan perniagaan. Modal tidak menjadi masalah sebenarnya kerana banyak bank dan agensi kerajaan seperti Mara, Tekun, PUNB dan SME Bank yang boleh membantu mereka jika mereka berusaha dan teliti untuk memajukan diri dan masa depan mereka.
Graduan jangan memikirkan lagak dan standard mereka untuk ‘demand’ tenaga kerja mereka kerana anda sebenarnya masih mentah dalam mengenal erti hidup bekerjaya. Carilah pengalaman sebanyak mana yang mungkin dan di mana sahaja sekalipun.

1 comment:

orde hidup aku said...

http://formulaluarbiasa.com/recommends/joe154

dptkan laporan dan teknik menjana wang di internet dan gayapos secara PERCUMA! di sini..rebutlah ilmu ini kerana sgt berguna dan ianya PERCUMA!

 
blog template by suckmylolly.com