Setiapkali saya singgah bakery yang pemiliknya muslim, hati saya jadi riang. Seronok punya kedai bakery kan! di Perlis ni setahu saya cuma ada 2 kedai roti&kek (bakery) muslim. Jualan mereka hebat juga.
Saya juga bercita-cita besar seperti mereka. Punyai kedai bakery di mana orang pelbagai bangsa, pelbagai peringkat umur datang dan membelinya tanpa rasa was-was.
Saya selalu melawat blog En Bakhtiar pemilik bakery... baru beberapa bulan beroperasi dan sentiasa bertambah kemajuan dan peningkatan. Ni bakery barunya:
bestnyer ada bakery sebegini. Moga Allah makbulkan impian saya suatu hari nanti.Amin..
Kalo nak buka bakery ni (apa-apa kedai pun lah) perlu persediaan yang cukup. Tempat strategik,ada strategi, ilmu cukup dan pengalaman yang luas, bab modal pun leh tahan juga. Saya yang kuat angan-angan ni... bab2 buat kek pun hancur :)
Andainya di Perlis ni ada tempat strategik, saya berkeinginan kuat juga seperti En Bakhtiar ni. Mungkin 2-3 tahun lagi. Saya nak kena belajar dulu selok belok dan sedikit sebanyak ilmu bakery ni. At least, jika tiada atau kekurangan pekerja, saya kena turun padang juga nanti. Ape pun, belajar la dulu. seterusnya praktis dan ambil order/tempahan dari kawan-kawan terdekat. Mulakan home based bisnes dari rumah seperti saya buat kek batik dan dadih sekarang. hmmm... ok juga idea tu yer. Contohnya macam Kak Pnut ni ha, baru mulakan bisnes cupcakes bulan lepas, terus meningkat permintaan, sekejap aje beli oven baru yang besar :) tahniah Kak Pnut ! Saya rasa begitu teruja dan kagum dengan semangat mereka ini. Saya pun tak mampu jadi seperti mereka. huhu
Eh, lepasni saya nak masuk kelas belajar buat kek dan roti lah! haha
Wednesday, May 30, 2007
Angan-angan...
Saturday, May 26, 2007
Ahlan Wasahlan ....( ke blog saya )
Sebenarnya, maksud ungkapan "ahlan wa sahlan" bukan hanya sekadar "selamat datang" atau "welcome". Dipetik dari buku "The Road to Mecca" oleh Muhammad Asad :
"When I entered (the room), the King rose, extended both hands and said :
'Ahlan wa-sahlan'- "Family and plain'- which means, 'You have now arrived within your family and may your foot tread on an easy plain': the most ancient and most gracious of Arabian expressions of welcome.
Kalau diterjemah dlm bhs Melayu :
"Dirimu kini berada dikalangan keluarga mu. Semoga langkah mu mudah seakan menjejaki tanah yang rata'.
"...within your family...". Indahnya kan bahasa Arab? Semoga ucapan "ahlan wa-sahlan" mengeratkan lagi ukhuwwah
Taken from mailing list karisma-net
------------------------------------------------------------------------------------
Oh,ya harini kedai saya dihadiri oleh beberapa orang termasuk seorang pelanggan baru dimana dia juga baru berpindah di Perlis ni.
Orangnya ramah, bertujuan datang untuk sembang-sembang pasal bisnes :)
Kak Yati ni seorang surirumah yang dulu seorang engineer bekelulusan luar negara, tetapi berhenti kerja beberapa tahun lalu semata-mata untuk menjaga sendiri anak-anaknya dan mengikut suami yang dihantar bekerja ke negeri lain.
Saya suka bersembang dengannya walaupun pertama kali berjumpa, banyak ilmu yang boleh dikongsi. beliau memuji saya tentang bekerja sendiri, katanya kat US dah lama dah surirumah bekerja dari umah. Macam-macam bisnes diorang buat. Kat Malaysia ni aje yang masih baru. Beliau juga bercadang untuk membuat home based business juga. Kebetulan sebelumni pun beliau sudah ada pengalaman berniaga. Cantikla tu kak!
Beliau ada idea dan saya support ideanya. Hehe. maka saya pun tawarkan untuk menjadi supplier beliau :)
Moga bisnesnya berkembang maju suatu hari nanti. perrghh...peminat setia Dr Irfan Khairi rupanya :)
Ahlan Wasahlan Kak Yati !!
Thursday, May 24, 2007
Kaya bertambah Kaya
Saya singgah di website Tips 1 minit Dr Irfan Khairi...
ooo...baru saya tau...begini rupanya orang- orang kaya dok berniaga. Patutla mereka kaya dan bertambah kaya....
------------------------------------------------------------------------------------
By Dr Irfan Khairi
Baru-baru ini, saya berkesempatan berbual dengan seorang jutawan (kita gelarnya Mr.A) yang mempunyai beberapa perniagaan. Saya sering kagum dengan mereka yang menjalankan beberapa perniagaan sekali gus yang melibatkan ramai pekerja oleh kerana, bagaimana dirinya mencari masa untuk mengendalikan kesemua perniagaan???
Jawapan Mr. A adalah, kerjanya hanya memulakan perniagaan, dan melantik seorang pengarah atau pengurus perniagaan itu. Segala keuntungan perniagaan itu, beliau mengambil 30% sahaja. Namun, beliau tidak perlu mengendalikan perniagaan itu- hanya menubuhkan sahaja.
Ini memberi kebebasan kepadanya untuk membina perniagaan lain dan melantik pengurus & pengarah untuk perniagaan yang lain pula. Perniagaan ini juga beliau mengambil 30%, namun, membebaskan masanya memulakan perniagaan yang lain.
Saya juga bertanya. Mengapa 30%? Selalunya, pengasas perniagaan mengambil sekurang-kurangnya 50% keuntungan. Baru puas hati :)
Beliau berkata, sekiranya mengambil 50% keuntungan, memang puas hati :) Tetapi dimana dirinya tidak terlibat dalam pengendalian, ia akan mengurangkan motivasi pengurus & pengarah perniagaan tersebut. Dengan mengambil 30%, jumlahnya adalah kecil dan berpatutan untuk dirinya tidak bekerja. Masanya lebih efektif di tumpukan untuk membina lagi perniagaan lain.
Amat bijak. Sekiranya masanya bebas dan mendirikan 10 jenis perniagaan, Mr.A menerima 30% x 10 atas keuntungan setiap satu perniagaan yang ditubuhnya. Dan masih tidak memerlukan dirinya untuk mengendalikan walaupun satu perniagaan.
At a larger scale, konsep ini juga di lakukan oleh billionaire-billionaire di dunia yang memiliki berbagai-bagai jenis perniagaan besar multi-million-dollar. Perniagaan mereka tetap berjalan walaupun tanpa kehadiran mereka.
Fikirkan, bagaimana anda boleh membina satu perniagaan, yang tidak memerlukan diri anda untuk perniagaan tersebut dijalankan. Ataupun, mungkin suatu hari nanti anda boleh membebaskan masa anda dari perniagaan anda dan memulakan beberapa lagi perniagaan menggunakan konsep ini.
*Tip bonus Mr.A* Mr. A juga mempunyai konsep yang bijak iaitu kesemua perniagaan yang dimulakan tidak menggunakan wangnya sendiri, tetapi menggunakan pinjaman dari institusi kewangan. Kejayaan perniagaan pertama memudahkan mendapat pinjaman seterusnya dari institusi kewangan untuk perniagaan kedua, dan kitaran ini berulang untuk setiap perniagaan dan pinjaman.
Wednesday, May 23, 2007
Teringat kembali....
Selepas baca "Kisah Penjual Tempeh", saya teringat pulak kisah saya, lebih kurang macam kisah si penjual tempe ni, yang tak henti2 berdoa.
Saya teringat suatu ketika dulu. Setiap malam saya sujud dan berdoa pada Allah agar dikurniakan pekerjaan yang baik buat saya macam kawan-kawan yang lain. Sebab masa tu saya kesiankan mak, anak-anak orang lain yang dah grad, ditambah dengan sepupu2 saya, semua bekerja dan dapat kerja yang bagus2. Mesti mak saya terasa hati sebab saya aje yang tak dapat kerja best. Bila dah dapat kerja bagus line kursus yang saya ambil, saya berenti pulak. Masa saya berenti tu, saya tau...mak dan ayah saya kecewa. Cuma diorang tak luahkan rasa kekecewaan depan saya. Saya pun tatau... saya rasa tak serasi dengan kerja tu.Padahal... tu jawatan yang saya idam-idamkan sejak sebelum grad lagi.
Lepastu saya berdoa lagi di samping terus berusaha, hantar resume, hadiri interbiu... sungguh-sungguh punya berdoa. Siap nangis-nangis lagi....
sebab ape, sebab kalo saya tak kerja, memandangkan tanggungjawab saya sebagai anak sulung... saya perlu bantu keluarga. Adik-adik masih bersekolah. Saya frust sangat waktu tu
Lepas saya berenti kerja tu, satu ape kerja pun saya tak dapat melainkan jadi cikgu. Saya sebenarnya tak minat jadi cikgu. Tapi sebab takde kerja masatu, saya teruskan mengajar jugak. Memula cikgu sekolah rendah, lepas tu saya jadi cikgu tadika. Memang saya tensen keje cikgu ni.hehe. Saya respek la pada guru2 di luar sana. Baru saya tau cemana guru saya rasa masa saya jadi anak murid dulu. Semakin lama saya jadi semakin tak minat. Saya luahkan pada suami. Alhamdulillah dia faham. Saya resigned jadi guru dan pengurus tadika. Masa tu, mendapat tentangan hebat juga dari mak mertua saya. Mak mertua nasihatkan supaya fikir betul-beul, kerja guru ni kerja mulia, sesuai sangat dengan saya dan mcm2 lagi lah :)
Saya tetap dengan keputusan saya. Last2 saya teringat final question dari mak mertua saya "nak jadi apa (cita-cita) sebenarnyer ni? ummi tak nampak apa yang najah nak". Saya terkedu masa tu, tatau nak jawab apa. sebab kalo saya jawab nak meniaga. Tentu mak mertua saya gelakkan. hehe.
Rupanya perancangan Allah tu hebat. Puas saya mohon pada Allah supaya dapat kerja bagus (makan gaji,company besar/keje gomen) macam kawan-kawan lain, rupa-rupanya inilah kerja terbagus saya. saya serasi sangat dengan bisnes. Seronok melakukannya. Saya begitu teruja melihat aliran wang tunai saya sendiri tanpa diganggu oleh orang lain. Saya dapat peluang membantu keluarga seperti orang lain. Itu yang paling saya bersyukur. Mak saya tak bersedih lagi melihat saya tak dapat kerja mcm anak kawan-kawan dia yang lain, dia pun sedar rupanya ada hikmah disebalik saya tak dapat kerja mcm kawan-kawan saya tu.
Hebat perancangan Allah ta'ala!!
Tuesday, May 22, 2007
Kisah Seorang Penjual Tempe
Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.
Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, cuma separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.
Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi-Nya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin.
Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan bungkusan bakal tempenya dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.
Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe. Amin.
Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan itu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu! Sementara itu hari pun semakin meninggi, sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walau bagaimana pun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Allah dan meneruskan pemergiannya ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.
Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. Ya Allah, aku percaya Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin.
Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.
Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Allah tidak adil. Allah tidak kasihan padanya kerana inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.
Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, bahawa Allah pasti akan menolongnya. Walau pun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.
Maaf ya, saya ingin bertanya. Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi. Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya, Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin.
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun berasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita itu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?
Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin hendak makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi mesti membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.
Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Allah...
Pengajaran di sebalik kisah ini:
Pertama
Kita sering memaksa kehendak kita kepada Allah sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah lebih Mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.
Kedua
Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hamba-Nya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancangan-Nya yang mungkin di luar jangkaan kita.
Ketiga
Tiada yang mustahil bagi Allah.
Keempat
Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga solat lima waktu sehari semalam, menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan.
Petikan asal : http://matno84.blogspot.com/2007/05/kisah-seorang-penjual-tempe.html
Sunday, May 20, 2007
Rindu...
Sudah hampir 6 minggu saya berehat di rumah. Tak dapat melakukan beberapa kegiatan harian seperti sebelum ini. Tangan masih bersimen. Bosan? perghh... bosan giler :)
Tapi bila direnung semula, inilah satu kesedaran amat berharga dari yang maha Esa. Menyedarkan saya, betapa berharganya pemberian Allah terhadap anggota kita walaupun sebesar jari kelingking. setiapnya mempunyai fungsi tersendiri.andainya saya ni,jika hilang sebelah tangan, sudah tentu saya tak dapat buat banyak/semua rutin dalam hidup saya. Sungguh menginsafkan.
Petang semalam, tatkala mengikut suami ke ofis di Bangunan Mara Kangar, saya turun ke surau untuk solat Asar. Sejak tangan patah dan bersimen ni,terkial-kial juga.... dari amik wudhu', bentang sejadah, pakai telekung dan solat. Ada sorang makcik asyik perhatikan saya sejak awal. Datang pada saya, tolong bentangkan sejadah dan ambilkan telekung. Tak habis-habis makcik tu cakap, 'kesiannya adikni'. haha. agaknya terharu tengok orang OKU macam saya nak pakai telekung n solat. hmmm... rimas saya sebenarnya orang dok cakap kesian-kesian ni :), saya ok la mck.... cuma tangah bersimen ajer....
neway... terima kasih mck kerna membantu....
Saya rindu sebenarnya nak buat kerja-kerja sebelumni. Rindu nak ke majlis ilmu seperti selalu.Rindu nak buat kek batik semula. Rindu nak ikat gelang kristal semula (buat masa ni kalo ada tempahan, minta kawan yang tolong ikatkan, thanks kak Pidah). Rindu nak buat cookies dan tart gulung pesanan pelanggan. huhu. dan yang paling saya rindu ialah... nak bawak kereta.hehe
Dalam dok sakit-sakit ni pun sales t-shirt, gelang dan buku berjalan seperti biasa. Bahkan banyak tempahan pula especially tshirts n gelang :) alhamdulillah. Semuanya perancangan Allah taala. Jangan merungut atas apa yang berlaku. teringat pula pesanan Pengarah Urusan Hafifah Frozen (jutawan/usahawan berjaya Perlis), semasa saya mengkuti kursus perniagaan dulu, pesannya supaya jangan sesekali menyesali dan merungut atas setiap musibah, kerana setiap yang berlaku... pasti ada hikmah di sebaliknya. Semua pahala tu. Kalo merungut. Maknanya kita marahkan siapa? nauzubillah...
Mujurlah dalam cadangan tuntutan ke atas pihak bas tu nanti (lepas dengar lawyer tu brief haritu) akan dibuat tuntutan gantirugi. Bagi kes saya ni ,dituntut atas patah tangan dan misscariage, dan juga tuntutan hilang sumber pendapatan kerana tidak dapat bekerja sepanjang sakit ni disebabkan saya bekerja sendiri (hehe,dlm dok sakit2 ni pun duit masuk macam biasa). Harap-harap la menang kes tu nanti. Tapi buat masa ni belum decide tuntutan lagi. Biar semua reda sket, sembuh semua dulu. Lagipun menda ni amik masa, bukan sehari dua. mungkin sampai lebih setahun, baru la dapat.Lega jugak amik takaful/insuran awal-awal. Kawan-kawan yang belum amik takaful tu, saya nasihatkan amikla sekarang. Malang tak berbau. Bahkan agent takaful saya tu suruh saya mintak MC banyak2 kat doktor supaya dapat claim lebih lagi.hehe
Lepas sembuh nanti, saya wish nak buat banyak benda. amboi, senarai panjang berjela dalam buku tu ha :).Semua yang tak sempat nak buat sebelum ni. Moga Allah tunaikan segalanya ....
p/s: Saya masih ada baki MC 5 weeks...aduh!! berakhir 19 jun...
Promote!!
It was so kind that Muadz gave us his new single album during his promotion at Book Fair last two weeks.
Dah janji ngan tuan album ni, once dapat album free.... kena la promote kat kekawan. Tolong kawan sekolah. hehe
Best juga bila dengar nasyid hadith ni. I like to hear 'standup' song :)
But... I like cd Xifu most :)!! ( your first album with Bro Naser )
those yang nak beronline dan mengikuti perkembangan artis Muadz ni leh singgah blog dia, http://muadzseekinglight.blogspot.com
Friday, May 18, 2007
Anak Mengamuk
Panduan ibu bapa bendung masalah anak mengamuk
Saya mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun yang aktif dan cerdik. Masalahnya sejak kebelakangan ini dia sering mengamuk jika kemahuannya tidak dipenuhi dan ada ketikanya dia membaling apa saja yang ada dalam genggamannya, merebahkan diri ke lantai serta pernah juga dia cuba memukul saya.
Seperkara lagi, jika anak saya menangis, dia akan terus menangis sehingga saya datang memujuknya. Dia juga sekarang menjadi seorang yang penakut. Saya risau jika perangainya berlarutan hingga besar.
Ibu Risau,
Kuala Lumpur.
PAKAR kanak-kanak mendapati anak berumur antara 16 bulan hingga tiga tahun akan selalu mengamuk atau throw temper tantrums. Ini adalah perkembangan yang normal kerana kanak-kanak peringkat itu mempunyai kemahuan tinggi dan mereka juga egosentrik atau mementingkan diri (terutama pada umur dua tahun). Mereka juga sedang belajar untuk menjadi lebih berdikari dan suka melakukan sendiri banyak perkara.
Kanak-kanak peringkat itu juga akan mengamuk kerana kecewa apabila tidak dapat melakukan tugasan atau memanipulasikan mainan seperti kehendak mereka. Mereka akan mengamuk apabila permintaan tidak dipenuhi dan mendengar perkataan "jangan".
Walaupun mengamuk adalah satu perkembangan normal tetapi sebagai ibu bapa, kita mesti menolong anak mengawal tabiat itu. Ia hendaklah dibendung sejak mula perkembangannya.
Disertakan beberapa panduan bagaimana menghadapi anak yang suka mengamuk. Harap membantu. Juga boleh layari www.rentis.blogspot .com untuk penulisan saya yang lain berkaitan kanak-kanak.
Kita boleh mengawal tabiat mengamuk dengan cara:
# Mengalih perhatian anak apabila nampak simptom seperti hendak mengamuk seperti muka anak merah atau mula hendak menangis.
Pernah seorang ibu menangis apabila anaknya mengamuk dan meragam. Melihat ibunya menangis, anak itu bertanya kenapa ibunya menangis. Jawab ibu itu, dia menangis kerana anaknya yang baik meragam.
Mendengar jawapan ibunya, anak itu berhenti meragam lalu terus memeluk dan mencium ibunya. Cara ini mungkin boleh dilakukan oleh ibu dalam usaha memujuk anak yang menangis dan meragam.
# Tenang menghadapi kerenah anak. Bacakan untuk diri anda surah al-Inshirah untuk menenangkan diri. Berdoalah dalam hati supaya Allah berikan kekuatan minda dan jiwa untuk menjadi ibu yang baik, sabar dan penyayang. Berdoalah untuk anak anda dan tiupkan di ubun-ubunnya dengan penuh kasih sayang.
Elak daripada memarahi atau menjerit pada anak kerana tidak akan membantu. Berbual dengan anak dan terangkan kenapa dia tak boleh atau tidak dapat melakukan sesuatu. Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan lebih mudah atau bantu anak untuk mencapai objektifnya. Memberi pelukan dan ciuman kasih sayang juga membantu.
# Jika anak terus mengamuk, cuba jangan peduli dan tinggalkan sekejap. Dr Hugh Jolly dalam bukunya, A book of child care, memberikan seorang akan memberikan persembahan yang lebih baik di hadapan penonton. Saya dapati panduan ini mujarab untuk anak saya dan kebanyakan anak di Taska. Jadi, jika anak terus mengamuk jangan perhatikan. Cuma pastikan anak selamat kerana ada budak yang akan mencederakan diri seperti menghantuk kepala ke lantai apabila mengamuk. Ada juga yang menjadi sesak dan sukar bernafas.
# Apabila anak berhenti mengamuk, bincang dengan mereka kenapa perangainya tidak elok dan kenapa permintaannya tidak boleh dipenuhi. Terangkan juga bahawa kita akan tegas dengan pendirian kita.
# Tegas dan elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak sepatutnya kerana kanak-kanak memang bijak. Sekali kita mengalah apabila anak mengamuk, mereka akan tahu kelemahan kita dan akan mengamuk setiap kali keperluannya tidak dipenuhi. Juga jangka masa mengamuk akan lebih panjang.
Beberapa bulan lalu, anak lelaki kecil saya mula mengamuk apabila kehendak hatinya tidak dituruti. Saya ambil pendekatan tidak peduli. Selepas dua tiga kali, dia tidak mengamuk lagi.
Apabila buat tidak tahu dia akan berhenti mengamuk. Selepas itu dia cuba menarik perhatian dan apabila anak saya sudah berusaha, barulah saya memeluk, berbincang dan dia akan kembali tenang.
Jawapan disediakan oleh Rosnah Ahmad dan Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Prof Madya Dr Umi Kalthum Ngah, dengan kerjasama Wanita JIM (wanitajim0@ yahoo.com)
Saturday, May 05, 2007
You Are My Friend...
kawan,
bila rasa ingin menangis..
hubungilah aku..
bukan aku nak suruh kau berhenti menangis...
tapi mungkin aku boleh menangis bersamamu...
tapi tak leh lama sangat..
nanti habih airmata aku...
kawan...
jika terasa tiba2 nak melarikan diri...
jauhi dari masalah...
hubungilah aku...
aku takkan suruh kau berhenti..
tapi. .mungkin aku akan berlari bersama kau agar masalah kau
boleh selesai... tapi jangan laju
sangat lari, tak larat aku nak
mengejar
kawan..
jika tiba2 kau ditinggalkan
kekasihkau..
beritahulah aku..
aku tidak akan memakihamun x-makwe@x-pakwe kau..
tapi..
aku akan cuba buat kau cintai
diri kau sendiri...
kawan..
jika kau kecewa keluargamu tak bahagia..
beritahulah aku..
aku takkan buat kau benci kepada ibu bapa kau..
tapi..
terimalah segala ketentuan Allah...
dan belajar untuk cintai mereka..
kawan..
jika kau kecewa dengan perkahwinan kau
suatu hari nanti...
ceritalah pada aku..
aku takkan sebutnama perempuan@lelaki itu...
tetapi. .
cubalah jadi lelaki@wanita yang lebih soleh@solehah ...
TETAPI kawan...
jika suatu hari aku
berdiam diri..
aku tidak membalas messagemu..
aku tidak angkat panggilan darimu...
hubungilah aku segera...
sebab
waktu itu aku..
aku mungkin perlukan kau...
atau aku sudah tiada lagi
didunia ini......... ......
jadi andai ini suratan buatku kalian
doakan kesejahteraanku di dunia abadi
kerana mungkin doa kalian mampu
menemani aku dialam yg berbeza itu..
Apapun kawan..segalanya ketentuan
Illahi buat kita yg bernama
manusia..
carilah. kecapilah manisnya
mahabah fillah yg Allah utuskan dlm
persahabatan yg seketika ini..
sayang fillah buat sahabat2ku yg jauh
dimata..dekat dalam munajatku
padaNya..
amik kat mailinglist karisma-net@yahoogroups.com
Wednesday, May 02, 2007
Kereta...
Mengerikan jika diingat semula...keadaan unser dilanggar dari belakang dengan bas ekspress
ayah baru sedar dibantu oleh Su Mah,adik bongsu ayah
Nusaibah selamat, cuma sedikit luka di dagu.Syukur Ya Allah...
Syukur saya panjatkan pada Ilahi. Semua selamat, walaupun ada yang patah riuk (saya dan ummi). Dugaan dan setiap berlaku ada hikmahnya. Paling saya terharu dan syukur teramat, Nusaibah. Saya tak boleh bayangkan andainya Nusaibah cedera seperti saya alami sekarang.
Terima kasih buat pakcik makcik JIM Penang yang byk membantu selama kami sekeluarga berkampung di hospital. Mama dan adik-adik yang byk membantu.Sedara mara yang tak lupa menghulurkan bantuan dan ziarah. Terima kasih buat doctors dan nurses hospital Seberang Jaya, Hospital Kepala Batas dan Hospital Pulau Pinang yang memberikan komitmen dan layanan yang baik sepanjang 4 hari kami berada di sana. Semasa discaj haritu, saya tak sempat nak thanks to all nurses n doctors yang merawat saya.
empat hari di hospital memberikan satu pengalaman berharga buat saya. Saya dapat ramai kawan. Melihatkan kejadian dan para pesakit di hospital banyak menginsafkan saya.Ramai yang mengalami kecederaan dan sakit lebih teruk dari saya. Oh ye, saya dapat bertemu Luna- rakan blog yang tak pernah berjumpa sebelum ni :), thanks Luna. seronok berborak ngan awak!
Sekarang saya di rumah. dengan keadaan tangan yang bersimen. Patah di bahagian lengan. Serta dalam keadaan berpantang- misscariage. Jadi OKU. Semua keperluan, suami yang bantu. Dari mandi, berpakaian, buat air, serve makan,jaga Nusaibah, kerja rumah dan lain-lain. Ada hikmahnya accident ini,dapat mengeratkan ikatan suami isteri. Abang sentiasa di sebelah sejak dari hospital hinggalah di rumah. Memang saya tak boleh melakukan seorang diri,perlu bantuan. Alhamdulillah ada adik-adik ipar Aminah n Khadijah yang byk meringankan kerja umah-memasak.Tiap2 hari rumah kami penuh dengan kenalan termasuk students ayah dan ummi yang datang ziarah. Terima kasih buat kawan-kawan yang seringkali call, hantar sms dan emel bertanyakan khabar dan sentiasa mendoakan saya dan keluarga agar cepat sembuh.
Moga saya cepat sembuh dan dapat kembali bertugas dan menjalani kehidupan seperti sebelum ini. Moga kejadian ini akan memberikan saya satu keinsafan dan motivasi untuk terus bekerja dan berkhidmat serta melipatgandakan usaha selagi hayat masih ada.
Iman: Assalamualaikum.....
karisma-net@yahoogroups.com
Diri : Waalaikumussalam wbt.lama tak nampak awak.Awak cuti ker?
Iman : Taklah, jabatan kami rasa tuan tak memerlukan kami lagi..
Diri : Laa..kenapa pulak awak cakap camtu? pentadbiran diri saya
berterabur sekarang bila jabatan kau takde..
Iman : Takdelah, kami lihat banyak pekerja tambahan tuan
ambil.VCD,SMS, TV..jadi kami rasa terpinggir
Diri : Entahlah, waktu cuti sebulan ni saya tak pernah menggaji
mereka.Tapi mereka terlalu rajin buat kerja, bekerja tanpa gaji,tapi banyak gak duit
saya habis...entah ar
Iman : Tu sebab, kami agak rasa tuan memencilkan kami. Al Quran, Zikir,
mathurat, solat Malam tak boleh bekerja dengan mereka..kami memang tak
boleh bercampur dengan mereka..
Diri : Saya tak pernah minta kau bercuti
Iman : Bagaimana kami ingin bekerja sedangkan tuan sudah punya pekerja
tambahan? Saya lihat mereka buat tuan gembira..
Diri : Argh, gembira apanya..Berterabur kerja kat pejabat tu!!Tolonglah,
bekerjalah dengan saya kembali
Iman : Kami sememangnya sudah berkhidmat dengan tuan dari tuan di dalam
rahim ibu tuan lagi. Tapi, tuan kadang-kadang mengabaikan kami. Tuan
sediakan makanan untuk bos pekerja tambahan, En Dosa, tapi kami, tuan tak sediakan makanan. Kebajikan kami tak terjaga...
Diri : Maafkan aku. kembalilah bekerja dengan saya. Saya janji kebajikan
kamu semua saya jaga,En Iman.
Iman : Tuan boleh berjanji, tapi CEO kita akan memantau tuan, Dialah
Allah.Tuan takkan tak takut menabur janji tapi melupakannya?
Diri : Janganlah menyalahkan saya.
Iman : Tuan perlu sedar, kami hanya bekerja di dalam syarikat yang bersih, dan amanah..Bukanlah saya nak memandang rendah pada jabatan baru En Dosa, tp kami tidak suka cara mereka bekerja. mereka meminggirkan kami
Diri : Dah awak tak melawan?
Iman : Tuan, bagaimana kami ingin menang? Kami terlalu lemah, sedikit
pula tu, kebajikan kami langsung tuan tak jaga..Sedangkan kami tidak pernah
meminta gaji dari tuan.Cuma kami minta disediakan ruang yang bersih dan
amanah untuk kami bekerja. salahkah kami meminta yg sedikit?
Diri : Mereka kadang-kadang lebih menggembirakan saya
Iman : Kalau begitu maafkan kami. Tak dapat rasanya kami bekerja untuk
tuan lagi.Tuan perlu memberi kebajikan kepada mereka.Siapalah kami..
Diri : Ehh, jangan..Bekerjalah dengan saya
Iman : Buanglah pekerja itu..Mereka meminta-minta dari tuan.Tuan perlu berhabis jutaan ringgit untuk mereka. Sedangkan kami, percuma khidmat kami
Diri : Aduh, mereka pekerja yang menggembirakan saya.Memang kamu
percuma, tapi kamu kadang-kadang bising, ini tak boleh, itu tak boleh..saya rimas
Iman : (senyum sinis)..Maafkan kami tuan..kami minta diri dulu..tak
perlulah kami berkhidmat dengan tuan kalau begitu..Kalau tuan perlukan
kami, kami sentiasa di sisi..Tuan jangan risau, kami maafkan tuan..
Diri : Jangan pergi..saya sanggup pecat En Dosa..dan ahli
jawatankuasanya, vcd, majalah yang melalaikan, dan sebagainya
Iman : Tuan betul-betul sanggup?
Diri : Ya, saya kelam kabut sekarang..Tak tenang,management berterabur..
Iman : Alhamdulillah. .kami free of charge..Tuan takkan rugi, sebaliknya
tuan beruntung besar..Silap hari bulan, CEO, Allah kita akan naikkan tuan ke pangkat yang lebih tinggi
Diri : Terima kasih..=)Panggillah ajk kamu bekerja semula. En Iman, saya
akan jaga kebajikan kamu, panggillah En mathurat, En Zikir, En Solat,dan
semua ahli jabatan kamu ya?
Iman : Alhamdulillah.Moga keuntungan tuan bergada-ganda tahun ini dan
seterusnya
Diri : Terima kasih pegawai kewanganku ..
p/s: SELAMAT HARI PEKERJA.Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi. Beribadatlah bersungguh-sungguh, seolah-olah kamu akan hidup sehingga esok hari.